Remaja Tingkatan Dua bayar zakat perniagaan RM10,000

0

 


Seorang pelajar Tingkatan Dua menjadi individu paling muda membayar zakat perniagaan sebanyak RM10,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).


Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mustamaman yang juga pengasas produk pemakanan hadir ke pejabat MAIK pada Khamis lalu.


Pembayaran zakat itu diserahkan kepada Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ameer Azeezy Tuan Abdullah.


Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya berkata, dia tampil menunaikan tanggungjawab itu selepas produk yang diusahakannya mencapai jualan sebanyak RM400,000 dalam tempoh empat bulan mula dijual bermula September tahun lalu.


Difahamkan beliau mengambil alih perniagaan itu sejak Januari.


"Saya mula berniaga menerusi aplikasi TikTok dan agak terkejut apabila mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan. Susulan itu saya mula mengambil ejen untuk meluaskan lagi penjualan produk saya.



"Susulan sambutan yang menggalakkan, ibu, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin, 46, dan ayah, Mustaman Che Yusof, 60, menasihati saya supaya mengeluarkan zakat perniagaan kepada MAIK," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.


Kisah Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya Mohd Mustamaman yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban di Pasir Mas sebelum ini tular bulan lalu apabila membawa thumbler Starbucks berharga RM1,800 ke sekolah.


Thumbler itu dikatakan edisi 2021 dan dibeli melalui pembeli peribadi yang dimuat naik di akaun TikToknya sehingga meraih 2.6 juta tontonan.


Akaun TikTok beliau yang menggunakan nama putriluthfiya mempunyai seramai 85,300 pengikut.


Malah, tahun lalu anak keenam daripada lapan beradik itu membawa ahli keluarganya ke Makkah menunaikan umrah hasil daripada jualan produknya yang mendapat sambutan.




Katanya, dia lega dapat menjadi salah seorang pembayar zakat dan berharap sumbangan itu dapat membantu golongan yang memerlukan.


"Ini juga ajaran nenek sebab nenek selalu berpesan apa-apa mesti dahulukan zakat. Saya juga berharap perniagaan ini semakin maju katanya.


Bibi Hasnalinda turut menyifatkan rasa terharu dengan usaha yang ditunjukkan anaknya untuk tampil membayar zakat walaupun usianya masih muda.


Katanya, dia berharap tindakan itu akan menjadi contoh kepada usahawan dan ahli perniagaan lain untuk sama-sama membayar zakat.


"Saya sentiasa berpesan kepada anak apa yang kita lakukan jangan kita lupakan Allah," katanya.


Sementara itu, Ameer Azeezy, berkata pihak MAIK bertuah kerana mendapat pembayar zakat termuda iaitu baru berusia 14 tahun.


"Dalam beliau bersekolah dan belajar, namun masih sempat mencari rezeki dengan cara yang betul dan tidak lupakan Allah," katanya.


Sumber :BH Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top