Anak tak sengaja tertumpah pengilat kuku di butik Levi's, Tomok terpaksa bayar ganti rugi RM5593

0

 



Malang tidak berbau, itulah yang dihadapi oleh Tomok baru-baru ini apabila anaknya secara tidak sengaja menumpahkan pengilat kuku ke atas baju dan seluar di sebuah butik pakaian berjenama. Kebetulan ketika itu, isteri Tomok dan anak-anak sedang membeli seluar di butik tersebut. 


Tomok terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM5,593 untuk menampung kerugian yang disebabkan oleh anaknya. Beliau kemudian mengambil tanggungjawab dan meminta maaf kepada pemilik butik atas kejadian yang tidak diinginkan tersebut.


"Saya bersama keluarga di The Garden Mid Valley untuk berbuka puasa, sekitar pukul 9.30 malam isteri saya nak beli seluar.


"Tapi ada kejadian tak terduga berlaku apabila anak saya tumpahkan pengilat kuku pada seluar yang berharga RM1,299. Ia bukan tumpah pada sehelai seluar tapi empat seluar serta baju bernilai RM499 dan RM899," katanya.




Menurut Tomok, pihak pengurusan butik tidak membenarkan dia meninggalkan tempat itu sehingga membuat pembayaran ganti rugi terhadap pakaian yang telah rosak. Akibat kejadian ini, Tomok terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM5,593.


Namun, Tomok mengakui bahawa kesilapan datang daripada pihaknya sendiri dan dia bertanggungjawab atas kesilapan tersebut. Dia kemudian membuat pembayaran ganti rugi selepas pihak butik memberi diskaun terhadap semua pakaian yang telah rosak.


Kejadian ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen yang mengambil maklum bahawa kesilapan boleh terjadi pada sesiapa sahaja dan perlu bertanggungjawab atas kesilapan tersebut.


"Saya tak boleh buat apa, saya tak boleh keluar dari kedai ini... selepas diskaun saya kena bayar RM5,593. Saya nak jual seluar ini sebab bukan saiz saya dan ia terlalu besar untuk saya.




"Pengilat kuku hanya terkena sikit pada baju, tapi saya faham ini peraturan dan saya mengaku ini silap saya.


"Ujian nak raya mungkin. Siapa nak beli boleh mesej saya. Saya tak jual harga ini. Insya Allah ada rezeki lain untuk saya," luahnya.


Sumber : mStar Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top