Peniaga makan hati, pengunjung hanya datang cuci mata

0

 


Kurang enam hari menjelang Aidilfitri, kebanyakan peniaga mengeluh kerugian sehingga menyifatkan keadaan tahun ini sebagai yang terburuk selepas ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu.


Rata-rata peniaga mengakui jualan merosot dengan teruk menyebabkan mereka perlu memikirkan strategi lain demi kelangsungan perniagaan masing-masing.


Peniaga kain, Dene Permata Amran Chik, 49, berkata tahun lalu, beliau hanya perlu berniaga selama 15 hari untuk pusingan modal dan mengaut keuntungan walaupun negara ketika itu baru keluar dari fasa PKP buat pertama kalinya.


Namun, tahun ini, katanya, beliau mengalami kerugian yang banyak sehingga terpaksa mendapat bantuan modal daripada suami, yang menggunakan gaji bulanannya.


"Tahun lalu, rakyat dapat keluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan terima pelbagai bantuan lain daripada kerajaan, maka kuasa membeli masih ada.




"Tahun ini, bantuan yang diterima sangat sedikit. Jangan kata nak menyimpan, nak pusing modal pun tak lepas," katanya.


Sementara itu, tinjauan BH di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di ibu kota mendapati, pusat beli belah dan tapak jualan sesak dengan orang ramai, yang membeli barangan sebagai persiapan menyambut lebaran.


Rata-rata membeli barangan lazim seperti baju Melayu, baju kurung, songkok, kuih-muih dan biskut raya.


Peniaga baju kurung, Azmi Ali Bakri, 36, berkata walaupun bilangan pengunjung ke Jalan TAR ramai, kebanyakannya hanya berjalan-jalan dan mencuci mata.


"Mereka hanya membeli apa yang perlu seperti kuih raya. Ramai yang lebih gemar membeli daripada buat sendiri. Tapi, barang lain, seperti baju serta kasut, ramai yang tidak membeli yang baharu, mereka pakai sahaja apa yang ada," katanya yang sudah berniaga di situ lebih 15 tahun.


Peniaga kemeja batik, Noor Hafizah Sariyani, 32, berkata corak berbelanja pengguna yang mula berjimat cermat, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barangan ketika ini memberi kesan kepada perniagaannya.




Beliau yang hampir empat tahun berniaga berkata, sambutan dan keuntungan yang diraih tahun lalu, lebih menggalakkan berbanding tahun ini.


"Namun, saya tetap bersyukur. Masih ada yang membeli dan berharap jualan akan bertambah baik dalam beberapa hari ini," katanya.


Sementara itu, pasangan suami isteri, Hazirul Harun, 38 dan Amalina Ahmad Pouad, 35, berkata mereka memilih untuk berbelanja secara bersederhana tahun ini berikutan kenaikan kos sara hidup selain lebih mementingkan keperluan ahli keluarga lain.


Pasangan itu juga memilih untuk membeli barangan keperluan di Jalan TAR kerana harga yang lebih berpatutan dan semua barang yang diinginkan ada dijual di situ.


Sumber : Berita Harian Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top