Sam Ke Ting bebas tuduhan sebabkan kematian 8 remaja basikal lajak pada 2017

0

 



Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan kerani Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.


Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting.


Hadhariah ketika membaca penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat atas satu alasan utama iaitu pertuduhan ke atas Ke Ting adalah cacat.


Beliau berkata rayuan itu perlu dibenarkan dan tiada isu berbangkit mengenai prima facie.




Hakim Mahkamah Tinggi hanya fokus kepada pemandu sahaja


"Saya nak menyebut bahawa sudah meneliti alasan penghakiman majistret (yang bebaskan Ke Ting sebelum Mahkamah Tinggi ketepikan keputusan itu). Saya mendapati alasan penghakiman itu adalah komprehensif.


"Saya setuju itu adalah hujahan lisan sebab beliau (majistret) menilai keterangan pendakwaan daripada semua sudut, sedangkan Hakim Mahkamah Tinggi dalam alasan penghakiman hanya fokus pada pemandu kereta saja. Hakim macam tidak mempertimbangkan langsung mengenai basikal lajak.


"Kena adil, sebab itu majistret membuat penilaian maksimum. Keputusan majistret adalah betul kerana mengatakan kemalangan itu memang mustahil dielakkan sebab situasi merbahaya diwujudkan oleh penunggang basikal lajak," katanya.


Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani itu dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan dilakukannya pada 2017.


Hakim, Datuk Abu Bakar Katar, turut memerintahkan responden, Ke Ting, 28, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.


Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada pertuduhan berkenaan.


Berdasarkan pertuduhan, Sam Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.


Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.




Penghakiman majistret betul, mustahil kemalangan dielakkan


Hadhariah berkata berdasarkan penghakiman majistret, mustahil kemalangan itu dapat dielakkan dan satu cara untuk tragedi itu tidak berlaku adalah kereta terbang melalui penunggang basikal lajak.


Katanya, kenyataan itu nampak kelakar tetapi ia adalah tepat.


"Tiada cara nak elakkan kemalangan kerana kita bukan bercakap mengenai satu atau dua basikal, tetapi 30 hingga 40 basikal maka penghakiman dan alasan penghakiman majistret adalah betul, kita perlu hormatinya.


"Alasan ringkas yang saya nyatakan untuk memudahkan pihak-pihak faham kenapa rayuan ini harus dibenarkan. Dalam kes ini, pertuduhan tak betul dan cacat serta sabitan juga tak betul. Jadi kedua-duanya tidak mengikut undang undang.


"Itu adalah hak perayu di bawah undang-undang, pertuduhan dan sabitan mesti betul. Atas alasan ini saja rayuan perayu dibenarkan, keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 13 April 2022 atas sabitan dan hukuman diketepikan, perayu dibebas dan dilepaskan.


"Kamu (Ke Ting) sekarang adalah orang yang bebas dan wang jaminan dikembalikan," katanya.


Sumber :Berita Harian Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top