Header Ads

Lelaki Ini Terima Padah Selepas buang kulit durian dekat kubur

 


Tindakan seorang lelaki membuang kulit durian di kawasan persendirian menerima padah apabila ditahan penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Raub dekat kawasan perkuburan Sempam di Cheroh, Raub semalam.


Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika operasi penguatkuasaan sampah haram kulit durian dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat orang awam pada 3 petang.


Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam dan risikan yang dijalankan sepasukan penguat kuasa SWCorp berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama seorang lelaki.



"Kesalahan yang dilakukan ialah melonggok dan melupuskan kulit durian di tempat yang tidak dibenarkan di kawasan persendirian.


"Dalam kes ini, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjaara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sharudin berkata, siasatan awal mendapati kira-kira satu tan kulit durian sudah dibuang di kawasan terbabit yang turut dilakukan individu lain.



Katanya, pasukan penguat kuasa SWCorp ketika ini mengadakan operasi mengesan kawasan yang dijadikan tempat pembuangan sisa kulit durian.


"Dengan tindakan yang dikenakan terhadap lelaki itu diharap memberi pengajaran kepada individu lain untuk tidak melakukan perbuatan sama.


"Oleh itu, kita meminta kerjasama orang ramai yang melihat perbuatan terbabit supaya melaporkan kepada SWCorp untuk tindakan.


"Kita tidak mahu kawasan persendirian dijadikan tempat pembuangan kulit durian hingga mengundang pencemaran terutama bau busuk," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.