Isu pelukis tidak dibayar biarpun hasil kerja sudah diserahkan adalah sesuatu yang biasa kita dengar. Ia berikutan daripada sikap kurang kesedaran dalam diri individu yang menganggap karya seni adalah sesuatu yang mudah dan murah.
Sedangkan, hakikatnya proses untuk menyiapkan sesuatu karya itu adalah sebaliknya.
Seperti yang kembali tular beberapa hari ini, hantaran seorang pelukis terkenal, Raja Mohamed Nizam yang bertarikh 11 Mac 2020.
Dalam perkongsian tersebut, Raja menceritakan pada 8 Jun 2019, beliau dihubungi seorang individu berpangkat Datuk yang berhasrat untuk menghadiahkan Tun Dr. Mahathir sebuah potret dan mahu ia disiapkan dalam tempoh 4 hari (12 Jun 2019).
Sampai hari yang dijanjikan, beliau menghantar lukisan berkenaan ke Setia Alam Convention City (SACC) dan di sana beliau diminta untuk bertemu seorang individu lain untuk serahan segala dokumen penghantaran dan bil yang mana akan diselesaikan pembayarannya kemudian.
Selepas daripada itu, barulah beliau tahu yang lukisannya akan dilelong.
Hari yang sama selepas Isyak, beliau menerima pesanan mesej daripada Datuk berkenaan yang menyatakan lukisan beliau telah dilelong dengan harga yang amat baik tanpa diberitahu berapa jumlah sebenarnya.
Dua hari kemudian, 14 Jun 2019 beliau ke SACC untuk mengambil semula kekudanya. Dan pada ketika itulah baru diketahui bahawa lukisannya sudah dibeli seorang jutawan dengan harga lelongan sejumlah RM150,000.
Namun malangnya, sehingga ke hari hantaran berkenaan ditulis iaitu 11 Mac 2020, tiada satu sen pembayaran pun diterima daripada Datuk berkenaan seperti yang dijanjikan.
Menjenguk di ruangan komen, rata-rata netizen bengang dan marah dengan sikap tidak bertanggungjawap individu bergelar datuk tersebut, ada juga yang memohon agar disebutkan nama datuk tersebut yang dikatakan menjadi ahli dalam parti politik yang terkenal.
Sumber fb : Raja Mohamed Nizam
Sumber artikel : ODlSI.MY