Jujur, saya tidak tahu apa akan jadi kalau saya tidak 'menemui' Malaysia dan Islam, kata Mat Dan

encik gotenks
0

 


Kisah Mat Dan yang tiba-tiba menjadi popular di Malaysia, mendapat perhatian BBC Radio yang menemuramahnya bagi mengetahui kisahnya sepanjang lebih sedekad di negara ini.


Dalam temuramah hampir 20 minit, Mat Dan berkongsi kisah hidupnya, bagaimana Malaysia mengubahnya menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelumnya.


"Saya tidak tahu pun Malaysia di mana, saya dan kawan-kawan berada di Thailand ketika itu dan tidak merancang langsung untuk singgah ke Malaysia.


"Terlalu banyak perbezaan hidup saya sebelum ini dan sekarang. Memang dahulu saya muda, tidak banyak fikir tentang kehidupan apalagi masa depan.


"Saya masih orang yang sama, tetapi saya tinggalkan apa yang membuatkan saya tidak bahagia. Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, itu sahaja perubahan paling besar dan positif dalam hidup saya.


"Jujur, saya tidak tahu apa akan jadi kalau saya tidak 'menemui' Malaysia dan Islam," katanya kepada penyampai radio, Emily Webb.



Lelaki berusia 31 tahun dari Cheltenham, England ini mengakui, keramahan dan kemesraan rakyat Malaysia sebagai faktor utama dia jatuh hati dengan negara ini.


"Semasa sampai di Terengganu, saya duduk minum di sebuah warung, seorang lelaki membayarkan harga minuman saya. Saya tanya kenapa, katanya saya nampak seperti baru sampai dan tidak kenal sesiapa, jadi dia mahu buat saya rasa selesa.


"Saya kagum dan di situlah saya terfikir, mungkin saya boleh tinggal lama di sini," ceritanya lagi.


Tambah Mat Dan, bergelar Muslim juga bukan satu perancangan namun perkenalan dengan ramai sahabat beragama Islam membuatkan dia mula bertanyakan banyak soalan, dan menemui jawapannya dalam Islam.



Bapa kepada dua cahaya mata ini menganggap penceburannya dalam dunia hiburan dan seterusnya dikenali sebagai selebriti, bukan pilihan sebaliknya satu tuah dan rezeki.


"Saya tak suka perkataan selebriti itu. Tetapi saya terima dan akur dengan hakikat bergelar orang yang dikenali di sini.


"Memang akan ada orang persoalkan, ramai orang asing datang ke Malaysia, pekerja Bangladesh dan Myanmar, ramai yang boleh berbahasa Melayu dengan baik tetapi tidak pula jadi selebriti.


"Tetapi saya tidak datang ke sini untuk menjadi selebriti. Saya hanya seorang traveller, tetapi kemudiannya menjadi terkenal. Ia terjadi begitu sahaja dan saya akur," ujarnya.


Sumber : ASTRO AWANI

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top