Header Ads

Mak 'guard' cantik tidak kisah kerja 'low class' demi cari rezeki halal buat anak

 


 "Memang ada yang pandang rendah, gelarkan pekerjaan saya 'low class' (kelas bawahan) dan kata ia tidak sesuai dengan saya, namun saya anggap sudah ditakdirkan mencari rezeki dalam bidang ini," kata pengawal keselamatan, Nurul Nazifah Zahari, 23.


Ibu tunggal anak dua itu berkata demikian sebagai reaksi kepada pertanyaan orang mengenai kerjayanya dalam bidang yang dipelopori lelaki.


Dia yang tinggal di Bukit Setongkol, di sini turut berkongsi kisahnya di TikTok yang mendapat perhatian pengguna media sosial, malah membuat video menjawab pertanyaan orang ramai mengenai pekerjaannya yang meraih lebih 360,000 tontonan.


Bercerita lanjut, Nurul Nazifah yang kini bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau berkata, dia tidak pernah malu hanya kerana mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan sebaliknya seronok dengan pekerjaannya itu.


"Saya baru sebulan lebih bertugas di sekolah itu, tetapi sebelum ini pernah menjadi pengawal keselamatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selama dua tahun.


"Pengalaman dahulu amat membantu, cuma ada beza suasana kerja di hospital dan sekolah.



"Di hospital lebih mencabar malah saya pernah ditaampar pelawat yang enggan mengikut peraturan waktu melawat. Ia pengalaman yang tidak pernah buatkan saya serik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.


Menurut Nurul Nazifah, waktu kerjanya adalah 8 pagi hingga 8 malam setiap hari kecuali Ahad, dan dia ditugaskan mengawal pintu pagar hadapan dan memeriksa suhu guru yang masuk ke kawasan sekolah.


"Tugasan di sekolah kini tidak begitu berat kerana pelajar belum hadir ke kelas untuk sesi pengajaran dan pembelajaran  secara bersemuka.


"Akan datang mungkin lebih mencabar terutama apabila pelajar kembali memulakan sesi persekolahan.


"Apa pun, saya bersyukur kerana ada pekerjaan ketika ramai dibuang kerja akibat pandemiik C0vid-19," katanya.


Dakwanya, ramai yang memandang hiina sebaik tahu dia bekerja sebagai pengawal keselamatan termasuk orang terdekat dengannya, tetapi dia tidak mengambil serius pandangan itu sebaliknya mengambil sudut yang positif.



Katanya, dia hanya mahu aura positif mewarnai kehidupannya bahkan pengawal keselamatan adalah pekerjaan halal yang tidak perlu dipertikaikan sesiapa.


"Menjadi pengawal keselamatan menuntut saya untuk menghadap pelbagai kerenah dan ragam manusia walaupun segelintir orang luar fikir ia kerja yang santai.


"Itu hakikatnya dan kepada wanita di luar sana yang berminat lakukan pekerjaan ini, teruskan saja. Jangan malu dan persiapkan fizikal serta mental.


"Dorongan saya untuk terus bekerja adalah dua anak yang masih kecil, jadi saya perlu berusaha keras. Saya juga menjual kek dan kuih termasuk secara siaran langsung di Bigo dan TikTok bagi menambah pendapatan," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.