Penyanyi rap sensasi dan kontroversi, Caprice tidak menyangka perubahan emosi dan sifat baran dalam dirinya selama ini berpunca daripada penyakit hipertiroid.
Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 33, yang dimasukkan ke pusat perubatan di sini, Isnin lalu akan dirawat selama seminggu bagi memantau keadaan kesihatannya.
"Siapa sangka perasaan dan emosi bercampur baur serta baran yang selama ini disangkakan berpunca daripada 'anxiety' rupa-rupanya kesan dari hipertiroid.
"Insya-Allah saya boleh menghadapi perkara ini. Saya berharap dapat pulang secepat mungkin, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu.
"Doktor menyarankan saya untuk berada di hospital selama seminggu. Tidak dinafikan, perniagaan saya jatuh teruk akibat keadaan ini. Namun, saya akan pastikan semuanya kembali pulih seperti biasa," katanya.
Hipertiroid atau hipertoroidisme adalah penyakit di mana kadar hormon tiroid terlalu tinggi di dalam tubuh.
Ia mendatangkan gejala jantung berdebar, tangan menggeletar dan berat badan turun mendadak.
Terdahulu, Caprice berdepan detik cemas apabila tiba-tiba sukar untuk bercakap seakan-akan mengalami serangan jantung dan separuh badannya seperti diserang angin ahmar, kira-kira jam 8 pagi, Isnin lalu.
Sumber : Harian Metro
Artikel berkaitan : Caprice perlu rehat, Tiger Of AlQuds terpaksa ditangguh
Penyanyi rap dan usahawan terkenal, Caprice memaklumkan terpaksa menangguhkan pelancaran single terbaharunya susulan masih diberi rawatan di hospital akibat sakit dada dan badan kebas yang dialaminya, kelmarin.
Menerusi entri Instagram, penyanyi itu berkongsi perkhabaran itu menerusi Instastory miliknya, sebentar tadi.
Menurut Caprice, single terbaharu berjudul Tiger Of AlQuds sepatutnya dilancarkan pada tanggal 10 Oktober ini, terpaksa ditangguh ke tarikh 21 Oktober sementelah doktor menasihati untuk berehat beberapa minggu lagi.
“Maaf semua susulan keadaan saya sekarang sekarang ini, doktor memberitahu saya perlu berehat untuk beberapa minggu.
“Maka, pelancaran Tiger Of AlQuds perlu ditangguhkan ke 21.10.2021,” jelasnya di Instastory.
Semalam, penyanyi lagu Xde Hal Bro itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit dada ketika bangun pagi yang dikatakan mengalami simptom awal penyakit kelenjar tiroid, selepas menjalani pemeriksaan.
Terdahulu, Caprice menerima kecaman warganet selepas memuat naik pengambaran muzik video berjudul Tiger of AlQuds, di Jordan.
Bagaimanapun, dia memaklumkan itu adalah cara pendekatan jihadnya untuk mendapatkan pengaruh bagi memudah cara misinya kelak.
Sumber : Utusan Online