Header Ads

Jika harga sudah dinyatakan awal, peniaga sebenarnya tak salah, kata Pensyarah Fiqh Makanan Semasa

 


Baru-baru ini viral di media sosial apabila seorang pelanggan mengadu terpaksa membayar lebih RM1000 untuk seekor ikan siakap yang seberat 7kg. Perkara ini telah menarik perhatian netizen dan juga pihak berkuasa.


Pensyarah Fiqh Makanan Semasa, Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, apa yang menjadi kesalahan dalam Islam jika tiada harga dinyatakan atau tidak dibincang atau dimaklumkan lebih awal.


Tidak timbul isu harga mahal atau tidak kerana lazimnya, matlamat jual beli tercapai jika kedua-dua pihak meredai (al-taradi) harga yang sudah dipersetujui lebih awal.


"Kebiasaannya mana-mana restoran makanan laut segar tidak kira pemiliknya Islam atau bukan Islam akan maklumkan dulu kepada pelanggan anggaran harga untuk berapa gram (gm) atau kilogram (kg) atau sama ada dinyatakan dalam buku menu.


"Kalau itu berlaku, pihak peniaga tidak salah kerana pemakluman harga sudah berlaku lebih awal dan kita sebagai pelanggan reda untuk mengambil ikan bersama berat pilihan kita dan dalam hal ini jual beli berlaku secara al-taradi iaitu reda antara dua pihak.



"Sepatutnya kita sebagai pelanggan yang hendak makan perlu mengira kos keseluruhan sebelum menerima atau meminta pihak peniaga memasak ikan itu. Jangan bila sudah keluar bil kita terperanjat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penularan resit harga ikan siakap seberat 7.48 kg yang mencecah RM1,196.80 di restoran terapung di Langkawi, Kedah.


Mengulas lanjut isu itu katanya, perbuatan menyebarkan perkara yang tidak benar ditegah Islam berikutan boleh mendatangkan fitnah apatah lagi menjatuhkan periuk nasi pihak lain.


"Apa yang berlaku hari ini ada niat tak baik jika pihak yang menyebarkan ini dia faham dan mengetahui harga ikan itu lebih awal ketika ditimbang maka tidak bagus dia menyebarkan perkara tidak sepatutnya kerana ia akan memburukkan nama pihak peniaga.


"Jadi janganlah kita menampakkan yang kita ini tidak tahu halal haram serta tidak menjaga sensitiviti orang lain hingga menjatuhkan periuk nasi mereka.



"Kalau kita hendak makan, buat cara hendak makan jangan sampai kita mendedahkan atau sebarkan benda yang tidak sepatutnya itupun boleh jatuh fitnah," katanya.


Baru-baru ini, seorang pelanggan memuat naik resit dengan jumlah bil keseluruhan makanan dan minuman mencecah RM1,759.50 termasuk perincian harga dan berat ikan siakap berkenaan.


Dalam hantaran di Facebook, pelanggan itu memaklumkan dia menyampaikan teguran dan nasihat kerana tidak berpuas hati dengan harga serta berat ikan itu yang dirasakannya tidak sepadan untuk tujuh orang makan.


Bagaimanapun, pemilik restoran terbabit pula mendakwa, harga berkenaan sudah dinyatakan dalam menu iaitu RM16 setiap 100 gm serta mencadangkan pelanggan itu memilih ikan lain yang lebih sesuai sebelum dimasak, namun dia tidak berbuat demikian.


From: Zura


Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.