Header Ads

Walau dihantui harga siakap 'yahudi', jualan siakap 'melayu' di Langkawi laris seperti biasa

 


Jualan ikan siakap di pulau ini tidak terjejas susulan tular harga siap masak ikan itu di sebuah restoran yang mencecah RM1,196.80 sejak tiga hari lalu.


Tinjauan di Pasar Awam Kuah di sini, mendapati urus niaga siakap berjalan seperti biasa dengan orang ramai membeli pada harga RM16 sekilogram.


Peniaga, Shahabudin Mohd Ali, 53, berkata, jualan siakap di gerainya seperti biasa, malah ada peniaga membeli lebih bagi menampung permintaan sempena cuti sambutan perayaan Deepavali.


"Rata-rata harga jualan ikan siakap di pasar ini RM16 sekilogram dan ia lebih rendah berbanding RM18 sekilogram beberapa bulan lalu.


"Ya, permintaan (siakap) tidak terjejas walaupun isu siakap mahal dibincangkan meluas dalam media sosial," katanya ditemui di sini, hari ini.


Pemborong ikan, Azizan Mat, 48, berkata, dia membekalkan purata 150 kilogram siakap sehari kepada restoran sekitar Kuah dan Pantai Chenang.


"Memang ada kawan tunjuk pada saya berita mengenai siakap mahal dalam Facebook, tapi jumlah siakap yang saya jual tidak berkurang sejak tiga hari lalu.



"Mengenai harga mahal di restoran itu, saya tak boleh ulas sebab harga di situ untuk siakap hidup, tapi saya jual siakap sudah mati," katanya.


Sebelum ini, media melaporkan, makan tengah hari sekumpulan pelancong di sebuah restoran di pulau ini dikejutkan dengan harga siakap yang didakwa RM1,196.80.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.