Header Ads

Rahsia lelaki 21 anak

 


 "Saya hanya jaga pemakanan dan mengamalkan petua menelan segumpal nasi berserta selawat sebelum makan untuk mengekalkan kesihatan tenaga batin," kata Abdullah @ Ali Ahmad.


Abdullah, 74, dari kampung Tok Raja, Jertih mempunyai 21 anak hasil perkongsian hidup dengan Aisyah Ismail, 61, sejak 42 tahun lalu.


Bagaimanapun, lima daripada 21 anaknya yang kini berusia 17 hingga 42 tahun, itu meninggal ketika kecil.


Anaknya, Aminudin Abdullah @ Ali, 43, Aviah, 42, Azaman, 40, Azmi, 38, Azlina, 36, Mohamad Azlan, 34, Mohd Azri, 32, Siti Fatimah, 30, Siti Zubaidah, 29, Mohd Mustakim, 27,



Siti Sakinah, 25,Siti Ayu Nadira, 23, Siti Aina Syahirah, 22, Amirul Aiman, 21, Siti Nooraliesha, 19, dan Siti Nur Fatihah,17.


Katanya, dia mengamalkan amalan pemakanan sihat sejak muda selain menjalani pekerjaan yang menggunakan tenaga seperti membajak sawah, mengambil upah menebang pokok dan pekerjaan buruh yang lain.


"Apabila kita jaga pemakanan, kerja kuat pasti tubuh pun sihat selain amalan dan petua orang-orang tua untuk mengekalkan kesihatan tenaga batin.


"Ulam-ulaman adalah paling penting dalam setiap hidangan saya. Paling saya gemari ialah ulam raja, pucuk ubi kayu dan pucuk pegaga.


"Segala ulaman memang wajib dalam setiap hidangan dan isteri memang sedia maklum mengenainya serta sentiasa menyediakannya untuk saya," katanya ketika ditemui di rumah, semalam.


Tambahnya, mempunyai anak ramai memang mencabar namun tidak sukar jika suami isteri saling bertolak ansur dan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah.


"Ramai yang tak berani beranak ramai kerana bimbang tidak mampu membiayai perbelanjaan anak-anak ketika masih kecil dan bersekolah.



"Saya tidak nafikan mempunyai anak sehingga 16 orang pada satu-satu masa dan semua masih belajar memang mencabar.


"Banyak pengalaman pahit dan manis yang dilalui dalam membesarkan anak-anak.


"Bagaimanapun, janji Allah mengenai rezeki yang ditetapkan untuk setiap anak tidak pernah dimungkiri," katanya yang kini mempunyai 16 menantu dan lebih 50 cucu.


Menurutnya, anak-anaknya pernah ke sekolah tanpa membawa wang namun ia tidak sampai tahap mereka kebuluran.


"Setiap anak datang dengan rezeki masing-masing dan ia tidak perlu diragui, walaupun berkerja buruh dan berpendapatan kecil namun rezeki anak tetap ada.


"Anak-anak ialah magnet rezeki untuk sesebuah keluarga, jika dahulu saya dan isteri mengalami kesukaran membesarkan anak-anak tetapi sekarang semua anak memberi kesenangan kepada kami," katanya ketika ditemui.


Sementara itu, Aisyah berkata, peranan ibu sangat penting dalam membesarkan anak-anak kerana suami sibuk mencari rezeki untuk keluarga.


"Walaupun kami dari keluarga miskin tegar namun saya sentiasa mendidik anak-anak supaya mengamalkan amalan sedekah selain mengerjakan amalan sunat lain termasuk solat dhuha pada setiap hari.


"Selain belajar bersungguh-sungguh, amalan kerohanian dan keagamaan juga perlu dititik beratkan dalam memastikan kejayaan anak seterusnya mengubah nasib keluarga.


"Alhamdulillah, dahulu kami susah membesarkan anak-anak dalam keadaan kemiskinan tetapi berkat kesabaran sekarang Allah bagi kemudahan kepada kami," katanya.


Sementara itu, Mohamad Azlan atau lebih dikenali dengan Mohamad Azlan Al Amin mengakui menjadikan kedaifan hidup ibu bapanya sebagai motivasi untuk berjaya dan mengubah nasib keluarga.


"Kerana kami pernah hidup susah saya bermotivasi untuk berjaya dalam bidang hartanah yang dijalankan sekarang.


"Kami mempunyai adik beradik yang ramai, pernah di sekolah dari tahun satu hingga enam ada adik beradik yang bersekolah.


"Biasanya hanya adik-adik yang bawa duit ke sekolah sebanyak 20 sen seorang manakala abang dan kakak tidak bawa duit saku," katanya.


Menurutnya, dia dan adik beradiknya dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan kini giliran mereka membalas jasa ibu dan bapanya.


"Dengan ibu bapa dan adik beradik tidak boleh berkira dan itu rahsia utama keharmonian keluarga besar kami," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.