Header Ads

“Saya sudah 97 tahun, apakah yang hendak dilakukan oleh saya dengan saki-baki kehidupan ini" - Dr Mahathir

 


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertekad untuk membanteras rasuah, terutama dalam kalangan bangsa Melayu sebelum beliau ‘menutup mata’.


Dalam satu hantaran di blognya, Che Det, Dr Mahathir berkata, dalam tempoh masa yang masih ada, beliau berasakan tidak menjadi pembaziran jika berusaha sungguh-sungguh membanteras rasvah.


Beliau turut menyeru semua orang Melayu menyertai perjuangan membanteras rasuah.


“Saya mungkin salah tetapi saya berpendapat bangsa saya pandang ringan terhadap rasvah. Inilah sifat yang diguna oleh orang tertentu untuk selewengkan bangsa Melayu dari menolak yang salah.



“Tidaklah boleh dinafikan kegagalan orang Melayu disebabkan mereka mudah pilih yang tidak baik kerana mudah. Yang mudah dan dekat lebih menarik apabila membuat pilihan. Mereka tidak fikir panjang,” coretnya dalam blog Che Det pada Jumaat.


Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan, tiada apa lagi yang diinginkannya namun sebagai orang Melayu, beliau terkilan kerana orang Melayu masih ketinggalan dan belum menjadi bangsa maju.


Tambahnya, walaupun Malaysia diiktiraf sebagai negara ‘middle income’ (berpendapatan menengah), tetapi orang Melayu belum sampai ke tahap itu dan rata-rata orang Melayu masih miskin.


“Kemampuan saya terhad. Tidak seperti dahulu di waktu saya menjadi Perdana Menteri. Tetapi kawan saya menekan bahawa jawatan tertinggi itu tidak penting.




“Seorang yang sudah tua dan berpengalaman tidak dapat tidak, sedikit sebanyak berpengaruh. Jika berminat gunakanlah saki baki pengaruh ini untuk bangsa. Untuk kebaikan bangsa saya, bangsa Melayu, apakah sebabnya mereka tertinggal,” jelasnya.


Negarawan itu turut berkongsi perasaan dan menyatakan, sudah putus harapan dan berasakan masanya sudah tiba apabila kesihatannya merosot teruk baru-baru ini.


Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana kembali sihat.


“Saya tertanya-tanya, apakah yang hendak dilakukan oleh saya dengan saki-baki kehidupan ini? Apakah ia setakat makan minum, berseronok sahaja. Masa tentu tidak panjang.


“Saya sudah berumur 97 tahun. Apakah masa yang pendek ini, harus dihabiskan begitu sahaja?” ujar beliau.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Powered by Blogger.