Header Ads

Jurutera mekanikal buat laporan polis dakwa 'Kak Long 7E' perIekeh golongan OKU

 


 Seorang jurutera mekanikal membuat laporan polis berhubung tindakan seorang wanita merakam video membuat mimik muka seolah-olah memperlekehkan orang kurang upaya (OKU).


Terdahulu, satu video berdurasi 31 saat memaparkan wanita terbabit, Wan Noor Baizura atau dikenali sebagai Kak Long Dungun menunjukkan mimik muka serta perwatakan seperti OKU tular di media sosial, sejak semalam.


Pengadu, Khairull Hafiz Ismail, 42, berkata, dia melihat video itu ketika berada di rumahnya di Taman Puchong Utama, Puchong, di sini, pada 11.30 malam tadi.


"Beberapa bulan lalu, Senator Ras Adiba Radzi ada membuat laporan polis terhadap dua individu yang menghina OKU, namun masih ada segelintir individu tidak mengendahkan perkara ini.



"Sebagai individu tergolong dalam kumpulan OKU, saya merasa tidak puas hati dengan tindakan wanita itu kerana ia adalah satu penghinaan kepada OKU.


"Disebabkan itu, saya membuat laporan polis sebagai satu peringatan kepada kita semua supaya saling menghormati dan tidak menghina bukan sahaja terhadap golongan OKU, tetapi antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu.


"Kami menerima laporan daripada pengadu yang terkesan dengan satu hantaran video dimuat naik pemilik akaun Facebook bernama Hafiz Shukri berkaitan seorang wanita, Wan Noor Baizura atau dikenali sebagai Kak Long Dungun.



"Dalam video itu, wanita terbabit membuat mimik muka serta berperwatakan seperti OKU seolah-olah memperlekehkan golongan berkenaan.


"Menurut pengadu yang juga OKU fizikal, dia tidak berpuas hati dengan hantaran berkenaan dan membuat laporan polis untuk rujukan pihak berkaitan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Abd Khalid berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu untuk meneliti dengan lebih terperinci.


Beliau berkata, setakat ini, tiada ucapan menghina (dibuat wanita terbabit), cuma mimik muka sahaja dan semakan akan dilakukan di semua daerah (polis) sekiranya terdapat laporan sama diterima.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.