Header Ads

Menteri akan ambil tindakan tegas kepada pengendali stesen TV tak jaga sensitiviti agama

 


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memberi amaran keras kepada semua pengendali syarikat televisyen, supaya tidak memaparkan sebarang adegan menyentuh sensitiviti agama dan rakyat di negara ini.


Menterinya, Annuar Musa berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, sekiranya terdapat stesen televisyen yang melanggar garis panduan ditetapkan.


“Di bawah peraturan sekarang, kerajaan memberi kuasa penapisan bagi konten drama di peringkat stesen televisyen, yang mana mereka dikehendaki membuat pengawalan sendiri.



“Sekiranya kita mendapati stesen televisyen tidak menjaga garis panduan tertentu, terutama menyentuh hal agama, budaya, adat resam dan sebagainya, maka saya akan menyemak semula kemudahan itu dan kita akan menarik balik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar Tingkatan Enam dari Parlimen Ketereh, sempena program “Back To School” , di sini hari ini.


Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai video dimuat naik oleh seorang pelakon tempatan di laman sosial Instagramnya, yang memaparkan babak panas dipercayai adegan dalam sebuah drama yang belum disiarkan.


Annuar berkata, kemudahan disediakan kerajaan bawah kendalian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), tidak sewajarnya diabaikan oleh syarikat televisyen sehingga tidak mematuhi segala peraturan ditetapkan sebelum ini.


“Kita memberikan kemudahan atas kepercayaan, semua stesen televisyen yang bekerjasama dengan syarikat swasta untuk membuat drama terbabit, tetapi perlu wajib mematuhi garis panduan yang telah disiapkan.



“Bagi saya adegan yang tidak Melayu, tidak Islam sifatnya, yang menyinggung perasaan orang Melayu, orang Islam dan sebagainya ini, sebenarnya tidak perlu menunggu pihak kementerian menegur kerana kita perlu faham sendiri batas-batas dalam adegan tersebut, yang tidak bersesuaian,” katanya.


Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau telah meminta pihak yang terlibat dalam drama terbabit, supaya memberi penjelasan secara bertulis sekiranya ia tidak memuaskan, drama itu tidak dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.


Susulan penularan video tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menerusi Facebook miliknya turut memaklumkan, akan menghubungi pihak terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara itu boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.


Sementara itu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dalam satu kenyataan media semalam turut menjelaskan, adegan dipaparkan dalam drama itu tidak sesuai disiarkan malah tiada dalam perbincangan atau mendapat kelulusan daripada pihak stesen televisyen itu.

Sumber : FMT

No comments:

Powered by Blogger.