RM10,000 dalam akaun KWSP akan jadi RM57,434 selepas 30 tahun, kata prof emeritus Dr. Barjoyai Bardai

encik gotenks
0

 


Ikuti wawancara pakar ekonomi PROF EMERITUS DR BARJOYAI BARDAI bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN.


Kesan positif kebenaran pengeluaran RM10,000 daripada akaun KWSP kepada pencarum berkenaan serta negara?


Dianggarkan, lebih 2.5 juta pencarum akan cuba mengeluarkan RM10,000 daripada caruman masing-masing.


Oleh itu, sebanyak RM25 bilion akan dikeluarkan dan serta merta mewujudkan permintaan berkesan di pasaran.


Ia bukan sahaja akan meningkatkan permintaan terhadap input industri, malah antaranya peningkatan keyakinan peniaga untuk melabur dalam fasiliti perkilangan, pengambilan pekerja baru serta peningkatan pengeluaran untuk membina baki stok penimbal.


Semua ini akan mewujudkan kesan pengganda di dalam ekonomi bagi memacu pembangunan ekonomi yang sedang dalam proses pemulihan cepat.


Pada masa sama, wang RM10,000 ini pastinya dapat meringankan beban kewangan pencarum yang sedang dalam keadaan terdesak menghadapi masalah kewangan disebabkan kesan penutupan ekonomi dan bencana alam (banjir) tempoh hari.


Cuma, tidak semua pencarum akan berpeluang membawa keluar wang kerana ia bergantung kepada baki dalam caruman masing-masing.


Pengeluaran RM10,000, berapa tahun tempoh diperlukan untuk amaun sama ini boleh ditambah semula ke dalam akaun KWSP?


Tempoh 12 tahun diperlukan untuk mengganti jumlah RM10,000 yang diambil keluar.



Pada kadar pulangan enam peratus setahun, RM10,000 sepatutnya menjadi 17,908 selepas 10 tahun, menjadi RM32,071 selepas 20 tahun dan menjadi RM57,434 selepas 30 tahun.


Begitu banyaknya kehilangan wang yang akan dialami RM7,908 untuk 10 tahun, RM22,071 untuk 20 tahun dan RM 47,434 untuk 30 tahun.


Memang ia tidak mungkin diganti.


Bagaimana KWSP mahu menambah semula jumlah berbilion ringgit yang dikeluarkan oleh pendeposit kali ini?


KWSP adalah sebuah institusi pengurusan pelaburan. Mereka akan menguruskan pelaburan tidak kira berapa banyak baki simpanan pencarum.


Kini, ada lebih RM1 trilion simpanan yang mereka (KWSP) uruskan.


Kalau RM25 hingga 30 bilion wang pelaburan dikeluarkan, ia tidak begitu menjejaskan prestasi dan operasi mereka.


Apa yang merisaukan KWSP ialah keperluan untuk menjual pelaburannya yang nilainya tidak menentu disebabkan pasaran saham dan pelaburan yang tidak menentu dan keperluan untuk menjual saham misalnya, di saat menunggu pengumuman dividen syarikat yang mereka labur.


Kalau ini terpaksa berlaku, KWSP akan kehilangan dividen untuk keseluruhan tahun pelaburan.


Misalnya, bila RM101 bilion dikeluarkan oleh pelabur di bawah i-Citra, i-Lestari dan pengeluaran khas ini, KWSP kehilangan RM5.4 bilion dividen yang sepatutnya mereka terima daripada syarikat yang mereka labur.


Ini menyebabkan kadar dividen keseluruhan yang mereka isytiharkan berkurang sebanyak 0.6 peratus (6.1 peratus berbanding dengan 6.7 peratus).


Ini kerana KWSP membayar dividen kepada pencarum berasaskan tempoh pelaburan sedangkan mereka menerima dividen daripada syarikat yang mereka labur berdasarkan pada sama ada mereka masih menjadi pemegang saham semasa dividen diisytiharkan.


Berapa peratus pencarum sebenarnya yang memang benar-benar memerlukan RM10,000 ini?


Sebenarnya, yang benar-benar memerlukan wang RM10,000 ini ialah kumpulan B60 yang kini sudah di dalam golongan 6.1 juta penyimpan yang kini mempunyai baki kurang daripada RM10,000.


Mereka ini mungkin tidak akan berupaya membawa keluar simpanan pun.


Apatah lagi ada penyimpan yang kini mempunyai baki kurang daripada RM1,000 seorang.


Namun, yang akan mendapat faedah daripada kelulusan ini ialah kumpulan yang mempunyai baki simpanan lebih daripada RM150,000.


Perbelanjaan keluarga pasti bertambah memandangkan sekolah sudah dibuka, Ramadan dan Aidilfitri pula bakal menjelang. Cukup atau tidak RM10,000 itu?


Kemungkinan besar jumlah RM10,000 untuk setiap keluarga ini tidak mencukupi.


Apa yang diperlukan ialah kebijaksanaan pencarum untuk menentukan keutamaan perbelanjaan.


Jika boleh, belanja mana yang perlu dan terdesak dahulu.


Tangguhkan perbelanjaan yang lain bagi memastikan pencarum tidak terjebak ke kancah yang lebih dalam dalam jangka masa pendek.


Ingatlah bahawa ramai juga pihak di luar sana yang mengambil kesempatan untuk menggoda pencarum dengan skim cepat kaya (yang selalu dilihat sebagai jalan mudah menyelesaikan masalah kewangan).


Akhirnya pencarum akan terjebak. Menggunakan wang simpanan RM10,000 untuk sambutan hari raya mungkin sesuatu yang patut dielakkan.

Ini kali terakhir simpanan KWSP dibenarkan untuk dikeluarkan. Bagaimana jika ada lagi suara-suara yang mahu ia dikeluarkan buat kali ketiga. Setuju atau tidak?


Jika kerajaan serius untuk menjadikan ini sebagai ambilan terakhir, kerajaan perlu meminda semula Akta KWSP yang kini membenarkan ambilan keluar sejak 2007 dan diperkukuhkan lagi oleh kerajaan yang lepas dengan pindaan tambahan.



Jika kerajaan benar-benar serius untuk menjadikan KWSP sebagai institusi perlindungan sosial untuk kaum pekerja, pengeluaran tidak patut dibenarkan malah kumpulan pesara sepatutnya terus melaburkan baki wangnya selepas bersara dan hidup dengan pencen di dalam bentuk keuntungan pelaburan ke atas baki simpanan mereka yang akan dibayar setiap bulan oleh KWSP.


Mahu guna untuk keperluan terdesak atau hanya sekadar mahu guna untuk 'suka-suka' bagi yang memiliki simpanan dalam amaun yang besar?


Ramai pencarum yang ingin mengeluarkan wang bukan kerana terdesak, tetapi kerana ingin merasakan hasil simpanan mereka sejak bekerja 10 hingga 20 tahun.


Jadi, walaupun mereka tidak begitu terdesak, mereka melihat inilah satu-satunya peluang untuk merasa nikmat perit lelah menyimpan dengan KWSP.


Mereka memikirkan menunggu untuk mencapai umur 60 tahun masih terlalu jauh dan mungkin tak sempat pun jika mereka ditakdirkan meninggal dunia sebelum umur 60 tahun.


Mereka melihat simpanan di dalam KWSP adalah seperti simpanan bank yang biasa.


Ini dilihat sebagai perspektif jangka pendek yang hanya memikirkan kesenangan hari ini berbanding dengan matlamat perlindungan persaraan.


Mereka mempunyai prinsip hidup bahawa 'Allah SWT menjanjikan rezeki kita di masa depan. Apa perlu risau sangat menabung hari ini untuk hari tua'.


Amat susah untuk memberi kefahaman tentang perspektif perancangan kewangan kerana mereka memang tidak minat untuk meninjau perspektif tersebut.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top