Header Ads

Tan Sri Azam Baki kecewa masyarakat lebih percaya media tidak berdaftar berbanding media utama

 


Masyarakat di negara ini dilihat lebih mempercayai media tidak berdaftar serta tidak berlesen berbanding media utama.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, situasi itu bukan sahaja tidak baik malah berbaahaya kepada pembangunan sesuatu negara.


"Pada masa ini, masyarakat lebih percaya media yang bukan berdaftar dan tidak berlesen, manakala media utama (mainstream) kini pula menjadi 'secondary'.


"Situasi ini tidak baik kepada masyarakat kerana media 'mainstream' adalah lebih sahih faktanya, disemak teliti sebelum disiarkan selain mempunyai etika dalam menyampaikan sesuatu berita berbanding media tidak berdaftar dan tidak berlesen," katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam SPRM Johor bersama media,di sini, malam tadi.


Hadir sama, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.


Dalam pada itu, Azam berkata, media juga dikenali sebagai 'the fourth estate', selepas badan eksekutif, legislatif dan badan kehakiman.


Katanya, media memainkan peranan yang penting dalam negara demokrasi Raja berperlembagaan berikutan menyampaikan maklumat dan fakta kepada segenap lapisan masyarakat, melalui medium cetak, radio, televisyen dan Internet.



"Media memainkan peranan semak dan imbang dengan memantau secara kritikal untuk mengimbangi kuasa dalam masyarakat.


"Media juga menjadi perantara di antara pihak berkuasa dan masyarakat untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan berguna.


"Aliran maklumat yang sahih dan membina adalah teras sebuah masyarakat dan negara yang berintegriti, maju dan berkembang.


"Aliran maklumat ini juga, amat penting untuk membina keyakinan masyarakat terhadap pihak penguat kuasa, seperti kami yang memerlukan kerjasama masyarakat untuk membanteras raasuah," katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.