Header Ads

Penguat kuasa tak buang barang peniaga bazar Ramadan seperti yang tular di media sosial, kata MDKP

 


Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) menafikan pegawai penguatkuasanya membuang barang jualan seorang peniaga bazar Ramadan di Kampung Renggoh Jalan Jehol Air Mawang, susulan video tular dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook hari ini.


Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, video 20 saat itu adalah rakaman kejadian yang berlaku di tepi jalan kawasan terbabit serta tidak menggambarkan keadaan sebenar.


“Hasil siasatan dalaman mendapati kejadian tersebut berlaku semalam, (ketika) pegawai penguat kuasa MDKP membuat rondaan serta pemantauan penjaja di bazar Ramadan Air Mawang dan sekitar kawasan Johol.



“Peniaga tersebut sengaja membuat provokasi dengan menyelerakkan meja jualan hingga mengakibatkan barang jualannya terjatuh atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan.


Faizal berkata, pegawai penguat kuasa bertoleransi sebaiknya dan menasihati peniaga itu mematuhi prosedur berniaga dengan memohon lesen penjaja di pejabat MDKP, namun pemeriksaan mendapati peniaga itu masih ingkar.



Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu itu dan akan mengambil tindakan tegas dengan melaporkan kepada polis terhadap fitnah yang disebarkan di Facebook Group N19 Johol demi menjaga imej dan kredibiliti MDKP.


Dalam pada itu, katanya, MDKP memperuntukkan lebih RM1 juta bagi membina pusat penjaja di Melang, Juasseh dan Pilah Perdana bagi penempatan semula penjaja kecil.

Sumber : FMT

No comments:

Powered by Blogger.