Header Ads

Mengapa pengimport perlu tanggung kos akibat kesesakan pelabuhan, tanya Datuk Ameer Ali Mydin

 


Bos pasar raya besar Mydin mempersoalkan mengapa pengimport dihukum atas kesesakan pelabuhan dengan terpaksa menanggung kos kelewatan penghantaran pada musim Hari Raya Aidilfitri.


Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin membangkitkan persoalan ini berikutan notis oleh persatuan pengangkutan bahawa pengangkut tidak akan bertanggungjawab terhadap kemungkinan berlakunya kesesakan disebabkan perayaan.


Ameer berkata, kelewatan penghantaran mengakibatkan peningkatan kos bagi pengimport dalam bentuk “demurrage”, caj yang dilevi oleh pemilik kapal atas kegagalan memunggah kargo kapal tepat pada masanya dan penalti penghantaran lewat.


“Kesesakan berlaku disebabkan ketidakcekapan pihak berkuasa pelabuhan dan pengangkut tetapi mengapa mereka menyalahkan kami?” soalnya.



Tambahnya, pengimport dihukum secara tidak adil dengan terpaksa menanggung kos sedangkan mereka tidak mempunyai kawalan ke atas kesesakan.


Ameer mendakwa, ini bukan kali pertama pengangkut enggan bertanggungjawab dan melayan pengimport secara tidak adil.


Katanya, persatuan pengangkut mengeluarkan notis sedemikian setiap kali musim puncak.


“Kami telah membangkitkan perkara itu kepada mereka, tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil,” katanya.


Beliau berkata, pengguna akan terjejas kerana pengimport terpaksa menyalurkan kos yang meningkat.



Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai meremehkan notis daripada pengangkut itu dengan berkata, ia hanya formaliti dalam industri.


“Dalam amalan sebenar, ia bergantung kepada kontrak antara penghantar (pengimport dan pengeksport) dan pengangkut bertanggungjawab ke atas tuntutan berkaitan kelewatan akibat pelabuhan, depoh dan kesesakan gudang,” katanya kepada FMT.


Setiausaha Persatuan Haulier Malaysia Mohamad Azuan Masud berkata, kesesakan pelabuhan telah lama menjadi masalah, terutamanya pada musim perayaan berikutan tenaga kerja yang terhad dan peningkatan jumlah trafik pada waktu puncak.

Sumber : FMT

No comments:

Powered by Blogger.