Header Ads

Majikan masih terbeban keputusan kerajaan naikkan kadar gaji RM1,500, kata Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman

 


Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mengakui kebanyakan majikan ketika ini masih terbeban dengan kadar gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan bermula 1 Mei lalu.


Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ini kerana kebanyakan majikan sedang berusaha memulihkan perniagaan susulan pandemiik  C0vid-19 yang melanda negara.


Sehubungan itu, katanya, peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 adalah terlalu mendadak dan membebankan kebanyakan majikan.



“MEF mencadangkan peningkatan gaji minimum dilaksanakan peringkat demi peringkat bagi membolehkan syarikat-syarikat memperkukuh perniagaan mereka dahulu.


“Walaupun kebanyakan perniagaan dibuka semula, para peniaga masih tidak berupaya mendapat faedah sepenuhnya kerana masih mengalami kekurangan pekerja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.


Pada Mac lepas, media melaporkan, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.


Kerajaan bagaimanapun memberi kelonggaran kepada beberapa sektor pekerjaan termasuk tidak formal antaranya kerja kampung, syarikat yang kurang daripada lima pekerja dan syarikat yang berdepan kerugian besar seperti sektor perhotelan dan pelancongan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum.



Mengulas lanjut, Dr. Syed Hussain berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 kepada semua perniagaan juga dijangka menyebabkan peningkatan kadar inflasi.


Katanya, syarikat juga masih menghadapi masalah rangkaian bekalan yang masih tidak menentu dan belum pulih sepenuhnya, ditambah timbul konflik Rusia dan Ukraine.


“Semua faktor yang mengekang perniagaan pada masa ini perlu diambil kira supaya pelaksanaan gaji minimum tidak memberi kesan negatif terhadap pasaran buruh negara.


“MEF berharap perbincangan mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dapat diadakan antara kerajaan dan pemegang taruh agar isu isu berkaitan dapat dibincangkan dan mencari jalan penyelesaian yang saksama,” jelasnya.

Sumber : Utusan Online

No comments:

Powered by Blogger.