Geng tonto naik tocang! berani ekori kenderaan JPJ dan polis sebelum salur maklumat kepada pemandu lori bermasalah

encik gotenks
0

Selepas hampir sebulan pendedahan dilakukan media, ternyata tiada perubahan ketara dikesan apabila tonto upahan masih terus liar mengekori kenderaan penguatkuasa.

Berdasarkan risikan dilakukan wartawan serta bukti bergambar, kumpulan tonto semakin berani mengekori rapat kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik.

Ternyata tindakan mereka ini mengundang persoalan sama ada ia satu bentuk provokasi terang-terangan atau sengaja mahu mencabar kewibawaan pihak berkuasa.

Ia terbukti apabila maklumat operasi bersepadu JPJ yang sepatutnya diadakan secara besar-besaran di beberapa lebuh raya utama malam kelmarin 'dibocorkan' lebih awal oleh tonto.

Operasi berkenaan yang sepatutnya disertai Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli di Plaza Tol Petaling Jaya (Hala Sunway) dipantau rapi oleh tonto yang sedia menunggu di lokasi berhampiran.

Mereka dikesan turut merakam video dan gambar anggota penguat kuasa JPJ sebelum disebarkan di media sosial beberapa jam sebelum operasi bermula.

Maklumat diperoleh wartawan mendapati kumpulan tonto masih aktif menyalurkan maklumat keberadaan kenderaan JPJ melalui media sosial.

Maklumat dikongsi itu turut disertakan dengan gambar kenderaan JPJ, maklumat nombor plat serta lokasi operasi dilakukan.

Tidak terkecuali, rakaman gambar anggota JPJ sedang menahan kenderaan berat bagi tujuan amaran kepada pemandu lori atau treler lain yang bakal melalui lokasi berkenaan.

Turut tidak terkecuali, penyebaran gambar dan video anggota polis trafik bersembunyi di celah pokok bunga, belakang pokok, atas jejantas atau di belakang tiang ketika melakukan operasi perangkap had laju.

Malah, tanpa rasa takut, mereka sengaja merakam gambar cuuri anggota polis dari jarak dekat di atas jejantas sebelum disebarkan kepada ahli kumpulan pemandu kenderaan berat.

Salah seorang anggota penguat kuasa JPJ yang mendedahkan perkara itu menyifatkan gangguan tonto ini kian sukar dibendung.

"Mereka bukan hanya mengekori kenderaan kami (JPJ), bahkan turut mengganggu operasi Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Polis Trafik dan Jabatan Alam Sekitar (Jas).

"Gangguan mereka bukan 'main-main' kerana mereka mengenali identiti hampir semua anggota penguat kuasa JPJ yang bertugas, nombor kenderaan persendirian kami hinggalah alamat di mana kami tinggal," katanya yang sudah 15 tahun berkhidmat.

Dia mendakwa situasi itu adakalanya menyebabkan mereka berasa tidak selamat dan sentiasa diperhatikan gerak geri.

"Walaupun belum ada ancaaman jelas terhadap ahli keluarga kami namun ia sedikit sebanyak mewujudkan kebimbangan," katanya.

Pada masa sama beliau turut mempersoalkan penubuhan Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ pada 2016 yang bermatlamat menangani kegiatan sindiket tonto di seluruh negara.

"Ketika itu JPJ bertekad bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) membanteras aktiviti tonto secara besar-besaran.

"Namun selepas tujuh tahun, masalah tonto masih gagal ditangani. Sebaliknya mereka makin bertambah dan agresif," katanya.

Kod khas, emoji wakili kehadiran pihak berkuasa

Kuala Lumpur: Guna pelbagai kod khas dan emoji di media sosial bertujuan memberi amaran pergerakan atau kehadiran anggota penguat kuasa di sesuatu lokasi panas.

Mendedahkan perkara itu salah seorang pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, 43, memaklumkan kewujudan pelbagai kumpulan telegram dan WhatsApp bagi bolehkan tonto menyalurkan maklumat pantas.

Menurutnya, antara kod popular digunakan adalah abjad P atau B yang membawa maksud anggota polis, J atau A (Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), C atau W (polis trafik) dan SPT atau Z (operasi perangkap had laju).

"Malah, terdapat beberapa gelaran tertentu diberikan antaranya John yang merujuk kepada anggota JPJ, Paul membawa makna anggota polis dan Wist merujuk kepada anggota polis trafik," katanya.

Dia berkata, emoji kereta polis turut digunakan selain angka mewakili nombor plat kenderaan milik penguatkuasa JPJ.

"Antara contoh amaran akan diberikan adalah '1677 keluar ofis atau kandang' yang membawa maksud kenderaan penguatkuasa JPJ dengan nombor pendaftaran 1677 memulakan tugas rondaan," katanya.

Menurutnya, maklumat diberikan turut membabitkan lokasi operasi had laju sedang dilakukan polis selain kes kemalangan harian seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataannya baru-baru ini memaklumkan pihaknya tidak gentar dengan ancaman tonto, malah akan sentiasa melindungi pegawai dan anggota JPJ yang bertugas demi keselamatan.

Menurutnya, JPJ tidak berseorangan kerana mereka turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan peraturan dan undang-undang jalan raya.

Beliau berkata, jika wujud elemen jenayah terutama ugutan, maka, JPJ akan mendapatkan bantuan daripada pihak polis bagi membanteras kegiatan itu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan memaklumkan pihaknya menerima lima laporan polis berkaitan aktiviti tonto yang menjadi pemberi maklumat bagi menggagalkan tugas penguatkuasaan JPJ sejak Januari lalu.

Harian Metro pada 19 Mei lalu mendedahkan kegiatan tonto yang semakin agresif dengan menjadikan pelbagai platfom media sosial untuk menggagalkan usaha pihak berkuasa.

Sumber artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top