Harga ayam dijangka cecah RM15 sekilogram bulan depan, kata peniaga

encik gotenks
0

PENAFIAN : GAMBAR YANG DIGUNAKAN HANYA SEKADAR HIASAN

Sebahagian besar peniaga menjangkakan harga jualan ayam lebih mahal pada bulan depan, mungkin mencecah RM15 sekilogram selepas skim harga maksimum ayam berakhir hujung bulan ini.

Mulai 1 Julai ini juga, tiada lagi subsidi diberikan kepada peladang, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos penternakan yang besar.

Malah ketika ini pun, kebanyakan peniaga pasar di daerah ini dan Kuala Terengganu tidak memperdulikan skim harga maksimum ayam yang masih berkuat kuasa sehingga hujung bulan ini.

Tinjuan Kosmo! Ahad di beberapa pasar di dua daerah itu mendapati, harga ayam segar paling murah dijual pada harga RM12 sekilogram, namun ada peniaga menjualnya sehingga RM13.50 sekilogram.

Mereka mendakwa, harga ayam kemungkinan akan melonjak bulan depan terutama menjelang sambutan Aidiladha.

Seorang peniaga Pasar Batu Enam di sini, Ahmad Riduan Redha, 44, berkata, dia tiada pilihan kerana ayam segar tersebut dibeli daripada pemborong pada harga antara RM10.10 hingga RM10.50 sekilogram.

“Saya terpaksa menjual ayam segar pada harga RM12 sekilogram sejak hampir sebulan lalu.

“Memang ramai pelanggan merungut, tetapi inilah harga ayam paling murah yang boleh didapati di daerah ini,” katanya.

Ahmad Riduan mendakwa, bekalan ayam yang dihantar pemborong juga telah berkurangan sehingga 50 peratus.

Dakwanya, dia cuma menerima 100 hingga 120 kilogram (kg) ayam segar setiap hari berbanding permintaan 200kg.

Seorang peniaga di Pasar Manir, Kuala Terengganu yang mahu dikenali Halim, 39, pula mendakwa, dia terpaksa menjual ayam pada harga RM13 sekilogram bagi mengelakkan kerugian berikutan kenaikan kos operasi.

“Kami jangka isu harga dan bekalan ayam akan semakin parah sebaik skim kawalan harga berakhir hujung bulan ini,” katanya.

Kelmarin, Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menggesa kerajaan menetapkan kadar baharu harga ayam segar yang lebih relevan selepas penamatan subsidi pada 1 Julai ini.

Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng berkata, tanpa subsidi RM1.40, peladang akan berdepan dengan kerugian besar susulan terpaksa menanggung kos penternakan yang mencecah RM7 sekilogram.

Katanya, kemelut itu bukan sahaja dihadapi di peringkat peladang, namun peruncit juga tidak akan memperoleh keuntungan apabila terpaksa menjual ayam segar pada harga terlalu rendah iaitu RM8.90 sekilogram.

Sumber artikel : Kosmo Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top