Pemain Harimau Malaya tak layak terima imbuhan, kata Zakaria Rahim

encik gotenks
0

Adakah skuad Harimau Malaya memiliki 'darjat' yang berbeza dengan atlet lain di negara ini selepas dilihat mendapat 'layanan istimewa' daripada kerajaan susulan kejayaan mara ke Piala Asia 2023 secara merit?

Itu persoalan yang dilontarkan pemerhati sukan tempatan, Zakaria Rahim selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan mempertimbang pemberian imbuhan dan penganjuran meraikan skuad bola sepak kebangsaan susulan kejayaan ke Piala Asia 2023.

Zakaria menegaskan, pasukan lain mencipta kejayaan yang lebih besar berbanding apa yang dikecapi skuad bola sepak kebangsaan namun sayangnya, pencapaian mereka dipandang sepi tanpa sambutan yang 'meletup'.

"Pasukan hoki negara masuk final Piala Asia, naib juara Asia, layak ke Piala Dunia 2023, ranking ke-10 dunia, mana imbuhan? Mereka pulang pun tidak disambut. Ada antara mereka yang kerja juruteknik, kerani dan paling tinggi inspektor polis. Ada yang masih belajar. Mudahnya, majoriti mereka B40.

"Pasukan terrjun negara yang rata-rata atlet muda remaja sapu bersih semua lapan pingat emas di Sukan SEA tiada imbuhan, tidak disambut? Separuh daripada mereka anak kampung di Sarawak dan pelajar. Kategori B berapa pula?

"Tiba-tiba pasukan bola sepak yang jadi pasukan yang ke-23 dari 24 pasukan layak ke Piala Asia diberi layanan istimewa dan dipertimbangkan imbuhan? Sedangkan mereka semua bergaji puluhan ribu, berkereta mewah dan golongan T20," katanya.

Justeru, Zakaria yang juga bekas pengurus Selangor itu mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat melihat semula keutamaan dalam memberikan imbuhan khususnya bagi prospek jangka masa panjang dalam sukan bola sepak.

"KBS perlu kaji semula keutamaan untuk memberikan imbuhan. Jika pun mahu beri imbuhan, bukan kepada pemain tetapi kepada pasukan.

"Beri imbuhan kepada pasukan Bawah 17 tahun (B-17) yang rata-ratanya pelajar sekolah yang sedang bersiap untuk layak ke Piala Dunia B-17. Mereka adalah prospek ke Piala Dunia 2030, itupun kalau serius nak ke Piala Dunia," tambahnya.

Sumber artikel : Berita Harian

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top