Raysha Rizrose boleh menyanyi

encik gotenks
0

GRAF lakonan pelakon jelita Raysha Rizrose terus bersinar dan menjadi permata dalam kalangan penerbit dan stesen TV tempatan.

Siapa sangka, selepas diumumkan sebagai juara Dewi Remaja edisi 2014/2015 pada 2015, wanita berusia 26 tahun ini dihujani pelbagai tawaran drama dan filem.

Terbaharu, drama lakonannya bersama Redza Rosli berjudul Bisik Bisik Gelora di TV3 berjaya mencipta satu lagi detik indah dalam hidupnya apabila meraih impak populariti yang luar biasa.

Raysha berkata, dia bersyukur dengan sambutan penonton terhadap drama terbabit walaupun drama itu menyaksikan gandingan kali pertamanya dengan Redza.

"Alhamdulillah drama ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Sejujurnya saya berasa teruja dengan sambutan luar biasa drama ini.

"Sebelum ini saya banyak terima tawaran berlakon bersama

Redza tapi tidak berpeluang melakukannya sehinggalah tawaran mengejut yang diterima dalam drama ini.

"Saya selesa berlakon dengan Redza. Dia banyak memberi pandangan dan cuba mencipta keserasian ketika kami berada di lokasi penggambaran," katanya.

Mengakui memilih dalam membuat keputusan untuk membintangi drama, Raysha mempunyai alasan sendiri untuk memastikan kehadirannya dalam industri seni memiliki nilai eksklusif.

"Sebelum ini saya sudah menjayakan banyak karya yang menarik dan Bisik Bisik Gelora antara naskhah yang saya suka kerana bukan hanya jalan ceritanya yang berbekas di hati tapi segala-galanya mempunyai persiapan rapi.

"Saya memang seorang yang memilih kerana saya nak mencabar kemampuan saya dalam bidang lakonan dan kadang-kadang saya perlukan tempoh bertenang ataupun menerima tawaran di stesen TV berbeza supaya wajah saya tidak kerap dilihat menjayakan watak yang hampir sama.

"Lagipun saya juga sangat pentingkan kesihatan mental. Kalau nak tahu saya seorang yang pemalu dan tidak suka ke depan, jadi bila saya buat sesuatu di luar kemampuan saya perlu ambil masa untuk sesuaikan diri dan keadaan," katanya.

Berbakat menyanyi

Bukan hanya hebat sebagai pelakon, Raysha juga memiliki bakat dalam bidang nyanyian apabila beberapa lagu yang dinyanyikan semula mendapat perhatian umum.

Bagaimanapun, Raysha masih belum menemui single baharu sebagai buah tangan pertamanya.

"Saya tidak suka terburu-buru dalam melakukan sesuatu, sebaliknya saya lebih suka ambil masa yang terbaik untuk melakukan sesuatu hal yang diminati.

"Walaupun saya suka menyanyi dan kerap masuk studio untuk rakamkan lagu orang lain untuk dimuat naik di media sosial tapi saya masih belum bertemu dengan lagu yang sesuai.

"Nak lancarkan lagu memang senang sebab lagu sangat banyak tapi untuk dipersembahkan sebagai karya pertama yang saya belum jumpa lagi," katanya yang meminati genre balada.

Beralih mengenai kehidupan peribadi, Raysha mengaku kerjaya seni masih menjadi keutamaan dan belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihan hatinya.

"Saya tak tahu dan tak berani nak cakap bila. Saya tak nak ulas lebih-lebih soal peribadi kerana karier seni masih menjadi keutamaan saya sekarang. Banyak lagi kejayaan yang saya nak capai dan mengasah bakat lakonan menjadi lebih baik,"katanya.

Sumber artikel : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top