Penafian : Gambar yang digunakan sekadar hiasan
Tinjauan gaji tahunan oleh Robert Walters mendapati 60 peratus majikan di Malaysia mungkin bergelut untuk mengekalkan bakat-bakat terbaik mereka kerana 48 peratus profesional mengharapkan peningkatan gaji akibat peningkatan kos sara hidup.
Ditambah dengan kebimbangan berhubung pengekalan bakat, keadaan itu menyebabkan 95 peratus majikan berasa tekanan akibat kekurangan bakat dalam bidang masing-masing, dengan majoriti daripada mereka mendapati cabaran terbesar bagi mengekalkan bakat ialah gaji tinggi dan manfaat yang dijangkakan oleh golongan profesional.
Situasi ini genting dalam industri yang memerlukan kelayakan teknikal dan kejuruteraan, pengalaman dan kemahiran.
Bagi mengekalkan pekerja, tinjauan mendapati 73 peratus organisasi melaksanakan pelbagai program pengekalan pekerja pada tahun lalu.
Tiga inisiatif teratas ialah pembelajaran dan pembangunan yang ditambah baik (68 peratus), penambahan inisiatif kesejahteraan (65 peratus) dan polisi kerja hibrid (58 peratus) sebagai respons terhadap keperluan pekerja yang berubah.
Ketua Robert Walters Malaysia, Ai Rene Tan, berkata bagi mengekalkan bakat-bakat terbaik, majikan perlu mengikut sentimen pekerja kerana 60 peratus responden mahu menukar kerja pada tahun ini.
"Syarikat tidak wajar mengabaikan kepentingan kesihatan mental dan fizikal, serta memastikan komunikasi terbuka dan proaktif sepanjang tahun," katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa yang sama, beliau berkata situasi pandemik yang memacu transformasi teknologi merentasi pelbagai industri, juga memburukkan lagi keadaan kekurangan bakat berkemahiran.
Katanya, ini lebih terbukti dalam sektor teknologi dan transformasi selain kejuruteraan, pembuatan dan sumber manusia, yang mana permintaan bakat adalah pada tahap tertinggi.
"Bagi menyelaraskan kemahiran yang tidak sepadan akibat daripada pandemik, 88 peratus organisasi sedang melaksanakan kemahiran semula untuk pekerja bagi menghadapi cabaran-cabaran baharu di tempat kerja.
"Lebih separuh organisasi (54 peratus) menjayakan program kemahiran semula untuk membantu jurang kemahiran dan memperkasakan daya saing pekerja dalam industri," katanya.
Sumber : BH Online