Header Ads

Rina Harun trending di twitter, video 'berlakon' bersihkan sekolah tarik perhatian rakyat

 


Datuk Seri Rina Mohd Harun sekali lagi menjadi perbualan ramai di media sosial.


Ia susulan satu rakaman tular memaparkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sedang membersihkan sebuah sekolah di Sepang, Selangor pada Ahad.


Dalam rakaman tersebut, Rina dilihat sedang menggunakan penyembur air (water jet) sambil dikelilingi beberapa individu termasuk jurufoto yang merakam aksinya.


Bagaimanapun, pelayar media sosial mempersoalkan tindakan berkenaan kerana mendakwa kawasan tersebut sememangnya sudah bersih dan tidak dicemari dengan lumpur banjir.


Video yang dimuat naik oleh pengguna Twitter @dylawok itu sehingga kini meraih lebih setengah juta tontonan.



Dalam pada itu, Rina menerusi Facebook turut berkongsi mengenai agihan bantuan yang disertainya hari ini.


Selepas menyantuni mangsa banjir di Sepang, Rina meneruskan gerak kerjanya ke Gurdwara Sahib, Petaling Jaya bagi meninjau proses penyediaan serta agihan makanan dan bantuan kepada mangsa banjir.


Khamis lalu, nama Rina turut hangat diperkatakan selepas dia mengenakan kasut tumit tinggi ketika membuat tinjauan dan penyerahan bantuan banjir.


“Tak sangka kasut saya adalah lebih penting untuk difikirkan daripada saya berada di sana, saya minta maaf, saya berlari dari perhimpunan semata-mata ingin ke sana dan hanya sempat tukar baju serta seluar. Saya berjanji akan memperbaiki kelemahan yang ada pada diri,” jelas Rina.

Perbuatan itu secara tidak langsung mendapat maklum balas pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan Rina tidak mengerti situasi sebenar banjir.



“Saya husnuzon. Mungkin dia tidak tahu situasi sebenar banjir. Sertai saya dan @partimuda dalam usaha melakukan pembersihan banjir di seluruh negara.


“Rumah-rumah yang kami bersihkan lumpur paras lutut. Kami perlukan setiap pertolongan yang dihulurkan,” ciapnya menerusi laman Twitter.


Rata-rata netizen turut mengecam tindakan menteri itu yang dikatakan seolah-olah berlakon bagi mendapatkan perhatian rakyat dan memintanya turun ke situasi sebenar.

Sumber : mStar Online dan Utusan Online

No comments:

Powered by Blogger.