Header Ads

Lebih banyak syarikat 'bungkus' jika laksana gaji minimum RM1500 sebulan, kata pakar ekonomi

 




Penetapan kadar gaji minimum yang baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini dijangka mengakibatkan lebih banyak syarikat dan usahawan mengalami kerugian, seterusnya terpaksa gulung tikar.


Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, pekerja dalam sektor tidak mahir dan operator kilang merupakan antara kumpulan yang akan mendapat faedah daripada pelaksanaan tersebut. Menurutnya, di Malaysia terdapat kira-kira 1.5 juta pekerja dalam sektor tidak mahir, manakala 1.8 juta orang lagi merupakan operator di kilang yang juga bakal menerima gaji minimum RM1,500.


Bagaimanapun katanya, jika dilihat dari satu sudut lain, terdapat 5,500 majikan di Malaysia dan kebanyakannya ialah peniaga mikro serta usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). “Jadi, sekiranya terpaksa membayar gaji minimum, kos overhed mereka akan meningkat dengan serta-merta dan menjadikan perniagaan mereka tidak berdaya maju lagi.


“Kemungkinan usahawan terpaksa tutup kedai atau pindahkan kos tersebut kepada pelanggan dalam bentuk kenaikan harga. Ini seolah-olah kerana nila setitik ro.sak susu sebelanga, maknanya kita nak naikkan gaji sikit, tetapi dalam masa sama, seluruh rakyat akan merana kerana kebanyakan barang akan naik harga,” katanya.


Beliau berkata demikian di program bual bicara Minda Profesor Negara bertajuk ‘Gaji Minimum di Malaysia: Apa Kesudahannya?’ yang disiar secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN) pada Selasa.


Mengulas lanjut mengenai produktiviti negara, beliau berkata, nilai tambah kadar produktiviti negara adalah sebanyak RM89,000 pada tahun 2021, turun 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Tambahnya, kadar produktiviti dalam negara tidak banyak berubah iaitu dalam lingkungan maksimum empat peratus antara lima hingga 10 tahun dan ia tidak sangat dibayangkan dalam perubahan gaji.


“Kenapa kita tidak berupaya melakukan lonjakan dalam produktivti? Bank Dunia dalam laporan 2021 menyatakan Malaysia akan gagal sekali lagi untuk mencapai tahap negara maju walaupun telah mengubah sasaran kepada tahun 2028.



“Jika mereka tidak dapat menangani isu kumpulan kelas menengah yang terjerat disebabkan oleh produktiviti, bagaimana nak keluar daripada isu ini?” soal beliau. Justeru ujarnya, kerajaan bersama-sama majikan dan pekerja perlu mempunyai satu program untuk meningkatkan produktiviti iaitu cara mudahnya adalah melalui teknologi.


“Majikan perlu melabur dalam teknologi, kemudian mereka akan mempunyai inisiatif untuk meningkatkan kemahiran pekerja. Apabila kemahiran pekerja meningkat, secara automatik gaji akan meningkat. Kalau ini dapat dilakukan, insya-ALLAH kita boleh keluar daripada jerat ini dalam masa lima tahun,” jelas Barjoyai.


Sumber: sinarharian.com.my

No comments:

Powered by Blogger.