Header Ads

Saya percaya wujud konspirasi kenakan Bung Mokhtar dan Zizie Izette, kata saksi utama

 


Mahkamah Sesyen di sini yang mendengar perbicaraan kes rasuah membabitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, berhubung pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad diberitahu bahawa, terdapat konspirasi untuk mengenakan pasangan suami isteri itu.


Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, yang merupakan saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuuah pasangan suami isteri itu berkata beliau merasakan wujud konspirasi itu, semasa rakaman percakapannya diambil pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuuah Malaysia (SPRM) pada 22 Jun 2016.


"Yes, I can feel that...sebab dia (pegawai SPRM) kata 'kami akan panggil kamu lagi untuk rakam percakapan', kerana apa saya cuba cakap pada hari pertama (22 Jun 2016) rakaman percakapan itu diambil tidak diterima," katanya ketika disoal peguam Datuk K. Kumaraendran mewakili Zizie Izette, semasa perbicaraan kes rasuuah itu di hadapan Hakim Rozina Ayob.


Saksi pendakwaan ke-25 itu dipanggil semula untuk disoal balas, selepas dianggap sebagai saksi belot dalam kes pendakwaan mengikut Sesyen 154 Akta Keterangan 1950.


Kepada soalan Kumaraendran, Norhaili berkata semasa beliau dipanggil untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya pada 22 Jun 2016, beliau tidak dimaklumkan mengenai siasatan yang dijalankan oleh pegawai SPRM.


Bagaimanapun, saksi utama pendakwaan itu bersetuju dengan Kumaraendran bahawa rakaman percakapan itu perlu diambil oleh pegawai SPRM, kerana ia berkaitan dengan pelaburan Felcra dalam Public Mutual.


Kumaraendaran: Saya cadangkan bahawa ketika kamu memberi keterangan kepada pegawai SPRM pada 22 Jun 2016, mereka menyatakan keterangan kamu itu adalah nonsense dan rubbish.



Norhaili: Saya tidak pasti ayat (sebenar) itu, tetapi ia berbunyi seperti itu.


Kumaraendaran: Setuju kalau saya katakan kamu berasa sangat tertekan, beremosi dan terganggu apabila pegawai-pegawai SPRM ini, menyuruh kamu mengaku bahawa Bung Moktar dan Zizie menerima rasuah berkaitan dengan pelaburan unit amanah Felcra itu.


Norhaili: Ya.


Disoal peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Bung Moktar, bagaimana perasaan Norhaili apabila hadir ke pejabat SPRM, saksi itu berkata beliau berasa sangat takut kerana ini merupakan pengalaman kali pertamanya.


Kepada soalan Ridha Abdah, saksi itu berkata beliau telah memberi keterangan panjang lebar ketika disoal oleh pegawai SPRM, tetapi apabila pemeriksaan laporan dibuat, 'tidak semua keluar'.


"Apa yang saya cerita (beri keterangan) panjang, tetapi end of the day tengok report (laporan) tak semua dikeluarkan. Ada beberapa perkara yang tidak ada dalam laporan itu," katanya.


Menurut Norhaili, beliau ingin memberikan cerita sebenar sejak mula disoal siasat, tetapi tidak mempunyai sebarang kekuatan.


"Sekitar 2021, saya pernah dipanggil oleh SPRM tetapi ketika itu saya tidak berjumpa dengan pegawai SPRM, tetapi saya berjumpa seorang daripada ahli pasukan pendakwaan, seorang wanita bertudung labuh.


"Sewaktu disoal oleh pendakwaan, masa itu saya berpeluang untuk menceritakan segalanya. Cerita pertemuan di Hotel Intercontinental itu tidak benar," katanya dalam keadaan sebak.



Pada hari ini, Norhaili mengekalkan keterangannya di mahkamah sebelum ini bahawa Bung Moktar tidak pernah meminta rasuah RM3.5 juta, dan ia bertentangan dengan kenyataan kepada SPRM bahawa wang itu diminta oleh Bung Moktar sebagai upah, dalam satu pertemuan di Hotel Intercontinetal pada 4 Mei 2015.


Prosiding itu akan bersambung pada 28 Mac ini.


Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.


Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.


Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500, daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab serupa dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Powered by Blogger.